Tag: CEO
Pakaian buatan malaysia Skiva sukar tembusi pasaran sendiri
by The housekeeper on Jan.24, 2008, under Releases
Medium : Utusan Malaysia & Utusan Malaysia Online [Utusan Online]
Tarikh : 24 Januari 2008, Khamis
KUALA LUMPUR, Januari 23, 2007 – Walaupun berstatus produk Malaysia, Grand Bell Tranding Sdn. Bhd. yang baru mengambil alih pengeluaran dan pembekalan pakaian wanita jenama Skiva mengakui sukar untuk meluaskan pasaran produknya di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Skiva, Joseph KC See berkata, kesukaran itu berlaku kerana kebanyakan pusat membeli-belah terkemuka tempatan kini dikuasai dan dimonopoli oleh pelabur asing yang lebih mengutamakan produk dari negara masing-masing berbanding produk tempatan.
Menurut beliau, keadaan itu mengakibatkan produk Skiva yang sudah 30 tahun bertapak di negara ini menghadapi kesukaran untuk memasuki premis-premis perniagaan yang dikuasai oleh orang asing.
"Inilah hakikat yang perlu dihadapi oleh Skiva namun saya bertekad kepayahan ini akan mencabar Grand Bell supaya terus bekerja keras agar strategi perniagaan kami berjalan lancar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
See berkata, kesukaran produk tersebut untuk menembusi premis-premis tertentu bukan disebabkan ada kekurangan tetapi pemilik gedung membeli-belah tidak berani untuk membiarkan Skiva bersaing dengan produk luar negara.
Ia kerana, katanya, berdasarkan pengalaman memasarkan produk tersebut, Skiva berjaya mencatatkan jualan yang membanggakan walaupun ruang niaga yang diberikan begitu kecil.
Lebih membanggakan Skiva adalah jenama pakaian wanita yang paling kurang menerima rungutan di kalangan penggunanya.
"Ini sudah cukup membuktikan jenama Skiva, produk keluaran syarikat tempatan cukup berkualiti daripada pelbagai aspek," ujarnya.
Menurut See, Skiva bukan sahaja menjadi pilihan penduduk tempatan tetapi kini sudah mendapat tempat di kalangan pelanggan dari Asia Barat.
Menyedari cabaran yang sukar itu, See berkata, Grand Bell akan meluaskan operasi penjualannya melalui Butik Skiva yang kini berjumlah 10 buah.
Tambahnya, syarikat itu menyasarkan untuk menambah butik sedia ada sehingga 20 buah pada tahun ini yang membabitkan pelaburan sebanyak RM3.5 juta dengan memberi fokus di lokasi Ipoh, Kuantan dan Pulau Pinang, selain Kuala Lumpur.
Menurut beliau, pertambahan itu adalah selaras dengan matlamat syarikat untuk meluaskan produk Skiva bagi mengukuhkan kedudukannya di pasaran tempatan.
Sumber Berita:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm