Tag: RM32 juta
Grand Bell catat pertumbuhan 20 peratus
by The housekeeper on Aug.22, 2007, under Releases
Media : Utusan Mlalaysia Online [Utusan Online]
Tarikh : Ogus 22, 2007
KUALA LUMPUR, 21 Ogos 2007 – Grand Bell Trading Sdn. Bhd., pengilang dan pengedar utama pakaian dalam wanita yakin dapat mencapai pertumbuhan 20 peratus bagi rangkaian produk jenama SKIVA selepas menerima pesanan eksport daripada beberapa negara jiran, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Steff Wong berkata, penembusan ke pasaran eksport baru itu akan membolehkan syarikatnya mencapai sasaran pertumbuhan perolehan tahunan mencecah RM32 juta menjelang 2008, berbanding RM22 juta yang dicatatkan pada tahun lalu.
“Penerimaan produk SKIVA di luar negara dijangka akan terus meningkat dan ia mengukuhkan imej jenama kami dalam negara dan juga di peringkat antarabangsa.
“Prospek SKIVA yang merupakan jenama Malaysia kini, mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa sebagai pelopor produk berkualiti dalam segmen pasaran pertengahan dan atasan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain menembusi pasaran negara jiran, Grand Bell Trading juga telah berjaya menembusi pasaran Maldives, Singapura dan Turki.
Mengenai rancangan masa depan untuk mengukuhkan jenama SKIVA di persada antarabangsa, Wong berkata, syarikatnya akan meneroka peluang secara agresif di negara-negara jiran sedang membangun, China, rantau Asia Pasifik dan pasaran Timur Tengah.
“Negara-negara ini mewujudkan peluang yang besar untuk menggalakkan pertumbuhan eksport kami.
“Buat masa ini, jualan eksport menyumbang hampir 20 peratus daripada jumlah perolehan dan seterusnya mencapai sasaran perolehan RM50 juta dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Jelasnya, bagi pasaran dalam negara, pihaknya sedang melaksanakan program penjenamaan semula dan merancang pembukaan lebih banyak kedai dan butik.
“Dalam tempoh dua tahun akan datang, kami akan melabur lebih RM2 juta dalam strategi penjenamaan untuk mengukuhkan kedudukan di pasaran tempatan,” katanya.
Rangkaian produk SKIVA diedar dan dipasarkan menerusi rangkaian luas lebih 71 kaunter di pusat beli-belah utama dan tujuh butik SKIVA di seluruh negara.
Sementara itu, sebanyak 40 peratus daripada pengeluaran SKIVA dihasilkan dalam negara oleh anak syarikat Grand Bell Trading, iaitu Double Wonder Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur.
Manakala 60 peratus lagi dihasilkan di luar negara menerusi pengilang kontrak OEM.